BIHAR, India 21 Jun – Lebih 150 kanak-kanak di sini meninggal dunia akibat penularan wabak Acute Encephalitis Syndrome (AES) atau lebih dikenali sebagai ‘penyakit radang otak’ ketika lebih 400 lagi dimasukkan ke hospital.
RT News melaporkan, situasi itu dipercayai berlaku selepas kanak-kanak terbabit memakan buah laici tercemar dengan sejenis bahan toksik.
Namun ada juga pihak menyangkal perkara itu dan mendakwa jangkitan tersebut berlaku susulan keadaan persekitaran yang kotor.
Memburukkan keadaan, penduduk di Bihar tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih untuk diminum dan dimasak setiap hari.
AES atau dikenali sebagai ‘Chamki Bukhar’ di India menyebabkan kanak-kanak yang menghidapinya dijangkiti demam, muntah dan tidak sedarkan diri.
Menteri Kesatuan Kesihatan, Harsh Vardhan berkata, sekumpulan pakar sudah dikerah ke kawasan terlibat bagi membantu merawat pesakit dan melakukan lawatan rumah ke rumah untuk melakukan pemantauan menyeluruh.
Sebanyak lapan unit ambulans yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan turut dikerahkan ke lokasi terjejas.
Sebanyak 119 daripada 150 kanak-kanak yang meninggal dunia dilaporkan berlaku di daerah Muzaffarpur sahaja. – AFP/AGENSI











