MOSCOW 21 Jun – Seorang wanita Rusia dari wilayah North Ossetia tidak menyangka kesakitan pada bahagian perut yang dialaminya sejak dua dekad lalu sebenarnya berpunca daripada sebilah gunting pembedahan yang ‘tertinggal’ dalam perutnya.
Oddity Central melaporkan, Ezeta Gobeeva sering mengadu sakit teruk pada perutnya sejak dia menjalani pembedahan Cesarean pada 1996, namun doktor memaklumkan rasa sakit itu berpunca masalah hati dan memberinya ubat penahan sakit.
Baru-baru ini, Gobeeva melakukan pemeriksaan imbasan sinar X dan hasil pemantauan mendapati, terdapat sebilah gunting pembedahan dalam perutnya dan wanita itu percaya alat tersebut tertinggal ketika dia menjalani pembedahan sebelum ini.
Pakar perubatan pada mulanya beranggapan Gobeeva sengaja memasukkan gunting tersebut namun selepas dijelaskan, wanita itu dijadualkan menjalani pembedahan bagi mengeluarkan alat perubatan berkenaan.
“Saya amat terkejut selepas dimaklumkan terdapat gunting dalam perut dan doktor pada awalnya beranggapan saya sengaja memasukkan alat pembedahan itu ke dalam badan.
“Saya amat terkejut sehingga menangis kerana selama 23 tahun saya menderita sakit perut yang teruk dan puncanya adalah gunting yang tertinggal dalam perut,” katanya.
Kes berkenaan mencetuskan kekecohan di Rusia, terutamanya dalam kalangan pengamal perubatan kerana ia dianggap sebagai kes kecuaian yang tidak boleh ‘dimaafkan’.
Sehubungan itu, pihak berkuasa Rusia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut dan kerajaan akan menanggung semua kos pembedahan Gobeeva, selain menawarkan wang pampasan. – AGENSI











