PUTRAJAYA 21 Jun – Siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati tiada bukti penderaan dilaporkan berlaku di pusat jagaan warga emas di Seremban 3, Negeri Sembilan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihak hospital juga mengesahkan bahawa tiada bukti penderaan berlaku di pusat jagaan tersebut.
“Satu perkara lagi, kita terima aduan sebanyak dua kali tetapi hasil pemeriksaan dilakukan JKM, tiada bukti penderaan.
“Mereka mempunyai penyakit diabetis dan darah tinggi, tetapi sehingga kini tiada penderaan dilaporkan berlaku,” katanya ketika ditemui pada Program Berjalan Santai dan Plogging Bersama Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan, arahan penutupan dibuat memandangkan pusat itu tidak mematuhi syarat pendaftaran seperti ditetapkan JKM.
Katanya, sehubungan itu, semua keluarga 12 penghuni diminta mengambil warga emas terlibat ekoran arahan penutupan tersebut.
“Perkara ini tidak menjadi isu, sekiranya mereka mereka mematuhi peraturan JKM, “ katanya.
Pada Isnin lalu, dakwaan warga emas di sebuah pusat jagaan di Seremban 3 diabaikan dan didera seorang penyelia wanita tular dalam media sosial.
Mereka didakwa dipukul, diikat dan dipaksa minum air kencing, malah jumlah kematian warga emas di pusat itu dikatakan agak mencurigakan. -UTUSAN ONLINE











