LE HAVRE, Perancis – Carli Lloyd berkata, semua orang menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai sasaran selepas mereka mara ke peringkat kalah mati pada Piala Dunia Wanita selaku juara Kumpulan F, selepas menewaskan Sweden 2-0, hari ini.
Skuad bimbingan Jill Ellis itu memecah rekod 24 tahun untuk jumlah jaringan yang mereka ledak dalam aksi peringkat kumpulan setelah tampanan Jonna Andersson hasil rembatan Tobin Heath menerjah ke gawang Sweden selepas rehat, dan AS menjejakkan kaki ke peringkat 16 terbaik selepas menyumbat gol 18 kali tanpa dibolosi.
Jumlah gol tersebut menjadikan juara bertahan itu sebagai pasukan yang menjadi sasaran untuk ditewaskan menjelang pertemuan dengan Sepanyol di peringkat 16 terbaik, tetapi tiada ruang untuk mereka meningkatkan permainan selepas persembahan hambar menentang Sweden yang melakukan perubahan besar di dalam skuad.
“Kami menjadi sasaran dan dijangka memenangi perlawanan, jika keputusan tersebut gagal dicapai kami dianggap gagal di mata semua orang. Saya rasa semua ini mengingatkan kami supaya sentiasa bersedia,” kata Lloyd, yang terbabit dalam kontroversi VAR.
Pemain berusia 36 tahun itu dilihat berada dalam kedudukan ofsaid sewaktu Jonna Andersson menjaringkan gol sendiri pada minit ke-50, tetapi pengadil, Anastasia Pustovoytova bagaimanapun mengesahkan jaringan tersebut meskipun telah memeriksa rakaman video.
Bagaimanapun, AS sememangnya dijangka akan muncul sebagai pemenang, yang juga bakal meletakkan mereka sebagai pasukan yang sukar ditewaskan di peringkat kalah mati disamping tuan rumah dan berpotensi bertemu pencabar seperti Perancis, England, Norway, Brazil dan ‘kuda hitam’ Australia. – AFP











