KUALA LUMPUR – Satu pertemuan akan diadakan antara sasterawan-sasterawan negara dengan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan insentif untuk golongan karyawan tanah air.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kementeriannya atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mungkin berperanan sebagai tuan rumah bagi pertemuan yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
“Kita tak mahu sasterawan yang pergi sendiri kerana kalau begitu nampak macam sasterawan meminta-minta. Saya tak mahu kerana saya yakin sasterawan negara tidak akan meminta-minta.
“Biarlah saya yang meminta untuk pihak sasterawan negara. Pengiktirafan bahawa perlunya diberikan insentif. Kerana mereka telah berjasa dan memartabatkan sastera dan juga bahasa kebangsaan kita,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-63 di Wisma DBP, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











