ALOR GAJAH – Seorang jurutol wanita cedera di pinggang akibat dihempap runtuhan pondok plaza yang dilanggar sebuah treler muatan hampas sawit di Plaza Tol Ayer Keroh di sini tengah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa yang berusia 48 tahun cedera ringan di pinggang dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya, sebelum kejadian, treler muatan 28 tan itu yang baru keluar dari arah Tangkak, Johor membuat bayaran di lorong kedua terakhir di plaza tol itu.
“Selepas membuat bayaran, pemandu treler tersebut meneruskan perjalanan namun bahagian badan kenderaan itu terlanggar pondok terbabit mengakibatkan ia runtuh lalu mencederakan jurutol bertugas.
“Mangsa dikatakan tersepit namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kes ini disiasat mengikut mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. -UTUSAN ONLINE











