KUALA LUMPUR – Kesemua universiti awam tempatan digesa supaya membayar elaun bulanan kepada semua sasterawan negara yang dinobatkan sebagai sasterawan tamu di universiti masing-masing.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah itu penting sebagai tanda pengiktirafan kepada sasterawan-sasterawan negara selain bangga dengan hasil karya mereka.
“Ya, saya gembira apabila sasterawan-sasterawan negara kita dinobatkan dan diambil sebagai sasterawan tamu tetapi sekadar ambil dan nobat karya mereka sahaja tak cukup. Kita perlu juga menjaga kebajikan mereka.
“Saya akan menyeru mereka (universiti-universiti awam) supaya memberi elaun bulanan kepada sasterawan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Wisma DBP, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











