TEMERLOH – Kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli di sebuah restoran makanan segera, KFC di sini mengejutkan pelanggan dan kakitangan restoran itu.
Malah tindakan Al-Sultan Abdullah dan juga Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang beratur dan membeli sendiri makanan di kaunter restoran menarik perhatian orang ramai yang berada di situ.
Peristiwa yang tular dalam media sosial itu mendapat reaksi balas warga maya yang menyifatkan Seri Paduka sebagai raja berjiwa rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin yang turut mengiringi Seri Paduka berkata, kehadiran Al-Sultan Abdullah telah mengejutkan pelanggan dan pekerja restoran berkenaan.
“Selepas solat Jumaat Yang Dipertuan Agong bertitah mahu makan di Kentucky Fried Chicken dan apabila sampai di restoran baginda beratur ambil makanan sendiri begitu juga Raja Permaisuri Agong.
“Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata baginda berdua hendak pilih sendiri bahagian ayam yang hendak dimakan dan bukannya orang lain yang pilih,”katanya di sini, hari ini. -UTUSAN ONLINE











