KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menukar hampir 60 peratus daripada 367,000 unit lampu pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh semenanjung kepada diod pemancar cahaya (LED) yang lebih jimat tenaga, rendah kos senggaraan dan mesra alam.
TNB dalam kenyataan berkata, bakinya akan digantikan dengan lampu LED seawal Disember tahun depan.
Kata kenyataan itu, penukaran lampu kepada LED itu dijangka dapat mengurangkan risiko kegagalan lampu jalan yang menggunakan High Pressure Sodium Vapour (HPSV) daripada 15 peratus kepada kurang daripada satu peratus.
“Ia dianggarkan boleh menyumbang kepada penjimatan bil elektrik antara 30 hingga 40 peratus. Penggantian lampu ini turut dapat mengurangkan perbelanjaan kos senggaraan yang mana penjimatan ini dapat digunakan bagi melaksanakan projek-projek lain yang boleh memberikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Selain menjimatkan, lampu LED mempunyai banyak kelebihan termasuk stabil, tahan lama, kurang panas dan tiada merkuri logam yang berbahaya terhadap alam sekitar.
“IBR atau Kawal Selia Berasaskan Insentif dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan wujudnya industri bekalan tenaga elektrik yang mampan melalui pulangan telus dan adil, di samping menggalakkan kecekapan maksimum,” menurut kenyataan itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











