KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Cawangan Khas (Teknikal), Datuk Mohamed Farid Abu Hassan dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa 17 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, pelantikan itu telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Mohamed Farid telah berkhidmat selama lebih 40 tahun di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang siasatan jenayah dan pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Farid yang dilahirkan di Kelantan pada 1958 mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Analisis Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selain menerima latihan dalaman dari PDRM khususnya Cawangan Khas, Mohamed Farid turut mengikuti pelbagai kursus risikan di serata dunia. -UTUSAN ONLINE











