'Kami rasa sangat lega' - Utusan Malaysia

‘Kami rasa sangat lega’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kerjasama kukuh institusi agama dalam menepis permintaan-permintaan bertentangan dengan syariat Islam dan Perlembagaan Persekutuan telah melegakan banyak pihak.

RAFIDAH HANIM MOKHTAR

Ia termasuklah dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq).

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Wafiq, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, beliau bersyukur dengan titah baginda yang menegaskan perkara tersebut ketika banyak NGO liberal yang memperjuangkan hak asasi dalam kerangka barat terus mendesak kerajaan menerusi pelbagai konvensyen antarabangsa.

“Kami rasa sangat lega, kerana kita tahu banyak daripada NGO liberal yang memperjuangkan hak asasi kerangka barat ini mendesak kerajaan dengan pelbagai konvensyen antarabangsa. Wafiq dan beberapa NGO lain tidak menolak sepenuhnya (konvensyen) tetapi NGO-NGO liberal ini mendesak kita menerima sepenuhnya.

“Itu yang menjadikan perjuangan kita, kami mahu lihat supaya hak-hak asasi yang mahu diselaraskan di peringkat antarabangsa tidak menyalahi atau berlawanan dengan Perlembagaan kita, yang mana berlawanan, kita katakan tidak boleh. Kami sangat bersyukur kepada Yang di-Pertuan Agong kerana menegaskan perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Semalam, semasa Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Sultan Abdullah bertitah, institusi agama kerap menerima tekanan dari luar seperti pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan NGO dalam usaha mereka menegakkan hak asasi manusia namun bertentangan dengan syariat Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, hanya kesatuan serta kerjasama yang kukuh dapat menepis segala permintaan yang bertentangan dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, tambah Rafidah Hanim, umat Islam di negara ini tidak menolak isu-isu hak asasi dan ia memang ada dan selari dengan agama Islam cuma negara ini menolak jika isu-isu tersebut melanggar sempadan agama yang ditetapkan.

“Contohnya kita bersama-sama dengan PBB dalam isu yang memang Islam perjuangkan juga seperti hak bagi wanita untuk belajar, hak wanita untuk tidak dizalimi tetapi kita tidak menerima kesaksamaan gender dalam erti kata hak-hak lelaki dan hak-hak wanita mesti sama.

“Ini kerana dalam Islam ada dinamakan keadilan, sebagai contoh poligami, faraid dan juga dalam prinsip rumah tangga Islam, perkara ini bukan 50-50 dalam Islam tetapi ia tetap adil sebab lelaki peranan dia lain, wanita peranannya lain. Oleh itu jadi apa yang diperjuangkan di PBB tentang hak kesamarataan gender itupun tidak boleh kita ambil jika ia bertentangan dengan syariat Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini