SEREMBAN – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berangkat ke Rumah Terbuka Aidilfitri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat Nilai di sini.
Baginda diiringi oleh Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang juga Canselor USIM.
Hadir sama, Pro-Canselor USIM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Wakil kedutaan dari Palestin, Yemen dan Turki turut hadir memeriahkan majlis tersebut.
Ketibaan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani disambut Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Musa Ahmad dan para pegawai kanan universiti itu.
Lebih 3,000 orang hadir pada majlis itu yang dianjurkan bersama oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dengan Badan Kebajikan Kakitangan (BKK) USIM.
Sebanyak 23 gerai dengan lebih 50 juadah bertemakan makanan tradisi hari raya antaranya lemang, ketupat, nasi ambeng, menu barat (makaroni, spaghetti) dan menu timur tengah (kebab, shawarma), aneka kuih-muih, pencuci mulut serta minuman disediakan untuk para tetamu.
Lebih 20 khemah didirikan mewakili gabungan semua jabatan di USIM serta kesemua tetamu hadir lengkap berpakaian bertemakan hari raya.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Musa berkata, sambutan hari raya tahun ini menampilkan kelainan berbanding penganjuran sebelumnya.
“Selain tahun ini genap 19 tahun penubuhan USIM, sambutan kali ini turut merakam kenangan meraikan ulang tahun Canselor USIM.
“Tambahan, kehadiran pelajar-pelajar menunjukkan kebersamaan warga USIM selain kehadiran rakan strategik dari pelbagai industri diharap dapat mewujudkan hubungan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Sempena sambutan itu, Musa turut menyampaikan sumbangan kepada kakitangan yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri lalu iaitu wakil daripada Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Unit Kenderaan dan Pusat Islam.
Turut menerima sumbangan ialah Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) yang diwakili oleh Pengerusi penajanya, Arfi Ahmad. – UTUSAN ONLINE











