Agong cemar duli ziarah, beri sumbangan mangsa-mangsa ribut - Utusan Malaysia

Agong cemar duli ziarah, beri sumbangan mangsa-mangsa ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa-mangsa ribut di daerah ini hari ini.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenaan mengurniakan sumbangan kepada 74 keluarga yang terjejas.

Seri Paduka menitahkan supaya semua penduduk yang terjejas akibat ribut tabah dan bersabar menghadapi dugaan Allah SWT itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bersama Raja Permaisuri dan keluarga bersimpati atas musibah yang dihadapi penduduk di sini dan berharap sempena hari Jumaat ini, kita semua harus bersabar dan inilah dugaan yang ditunjukkan Allah.

“Apa yang boleh kita belajar dari sini adalah kesungguhan dan keikhlasan pihak yang hendak membantu. Saya hendak menilai sendiri apabila saya hadir baik hari pertama, kedua atau hari kemudiannya melihat secepat mana bencana ini dapat dikurangkan atau dibantu secara berterusan,” titah Seri Paduka dalam lawatan di Kampung Haji Ali di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy serta pemimpin setempat.

Sebanyak 74 buah rumah, dua buah surau dan dua buah sekolah agama rosak dalam kejadian ribut yang melanda sekitar daerah ini pada Isnin lalu.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Haji Ali, Kampung Bangau Parit, Kampung Paya Kechik, Kampung Paya Dalam dan Kampung Tebing Tinggi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini