KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) optimis terhadap perkembangan eksport halal negara ini yang mampu mencatatkan pertumbuhan 10 peratus bagi tahun ini berbanding RM40 bilion tahun lalu, meskipun dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Naib Presiden Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan lebih tinggi berbanding kadar biasa iaitu sekitar empat hingga lima peratus setahun memandangkan nilai eksport halal tahun lalu sedikit merosot berbanding RM43 bilion yang dicapai pada 2017.
Menurut beliau, sasaran yang lebih tinggi itu ditetapkan bagi membolehkan negara memenuhi aspirasi awal untuk mengutip RM50 bilion nilai eksport halal menjelang 2020.
“Eksport utama produk halal Malaysia adalah makanan, diikuti bahan mentah terutamanya yang berasaskan minyak kelapa sawit.
“Harga minyak kelapa sawit yang rendah menyebabkan prospek industri halal negara tahun ini sangat mencabar, berikutan peningkatan persaingan antara Malaysia dengan satu lagi pengeluar utama minyak sawit iaitu Indonesia.
“Kami perlu berusaha lebih keras, termasuk memperkemaskan promosi dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia selain mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Industri Utama terutamanya bagi memperbaiki tanggapan negatif daripada pasaran Eropah berhubung minyak kelapa sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Siri Melangkaui Pembiayaan Ambank BizConference berhubung industri halal di sini semalam.
Persidangan tersebut dianjurkan bagi menyediakan perusahaan kecil sederhana dengan pemahaman mengenai topik penting berkaitan industri halal.
Mereka turut berkongsi pandangan daripada pemain industri berhubung langkah meluaskan perniagaan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Menurut Hanisofian, industri halal tempatan kekal aktif dengan kemasukan pelaburan bernilai RM13.3 bilion melalui 13 Taman Industri Halal seluruh negara setakat 2018.
Pihaknya menyasarkan nilai tersebut akan bertambah kepada RM15 bilion pada 2020.
“Beberapa syarikat multinasional turut mengumumkan projek baharu dalam industri halal di negara ini.
“Antaranya pengumuman kerjasama oleh FGV Holdings Bhd. dengan Samyang Foods Co. Ltd. yang berpangkalan di Korea Selatan bagi mewujudkan kemudahan pengilangan ramen halal di sini awal tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hanisofian menjelaskan pihaknya menjangkakan Pelan Induk Industri Halal 2.0 akan dapat diumumkan pada suku ketiga tahun ini, selepas perbincangan peringkat akhir dengan pihak berkepentingan selesai pada Julai depan.











