KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menggerakkan sebuah pasukan bagi menolong bekas pelari jarak jauh dan sederhana Pulau Pinang, Zarina Sabaree yang kini dalam keadaan uzur serta memerlukan bantuan.
Jelas Syed Saddiq, Zarina, yang pernah berada di bawah kendalian bekas pelari pecut negara, Baba Singhe Peyadesa pada pertengahan 80-an, akan menerima Skim Kesihatan Khas bagi atlet dan bekas atlet.
“Ada baca tentangnya (berhubung keadaan Zarina) pagi tadi dan pasukan juga sudah digerakkan ke sana.
“Inisiatif baharu iaitu Skim Latihan Khas bagi atlet dan bekas atlet juga sedang berjalan sejak Mei lalu. Jadi, dia boleh menerimanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Zarina, 52, dilaporkan sedang uzur dan tidak mampu berjalan dengan baik. Dia kini dijaga rapi oleh ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan di kediamannya di sebuah flat empat tingkat.
Dalam perkembangan berkaitan, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) telah menziarahi Zarina di Ayer Itam, Pulau Pinang.
“Keperluannya pada masa ini adalah untuk mendapatkan rawatan di hospital. Masalahnya adalah berkaitan urusan ke hospital memandangkan dia menetap di flat empat tingkat dan tiada lif.
“Kami akan membantu urusannya ke hospital, ambulans dan sebagainya dalam masa terdekat,” maklum Yakeb dalam kenyataan itu.










