KUALA LUMPUR – Walaupun telah banyak kali diserbu, tiga pusat urutan dan refleksologi di Setia Alam, Selangor yang ‘menghidangkan’ wanita warga asing sebagai pemuas nafsu masih tidak serik menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.
Malah, dalam serbuan terbaharu yang dijalankan oleh 24 pegawai imigresen dari Unit Operasi Khas (UOK), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa dua hari lalu, sebanyak 20 wanita warga asing ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan sehingga tidak sedar kehadiran pegawai penguat kuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ketiga-tiga premis yang dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit sehari itu turut mempunyai aplikasi WeChat khas untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan dan tempahan awal secara dalam talian.
Menurutnya, premis-premis tersebut menawarkan perkhidmatan seks bermula dari harga RM170 hingga RM200 bagi tempoh masa selama 45 minit mengikut pakej-pakej seperti pakej ‘Body to Body’ dan pakej seks penuh.
“Hasil pemeriksaan ketiga-tiga lokasi serbuan, kita menahan 20 wanita warga asing iaitu sembilan warga Indoneisa, Thailand (enam), Vietnam (tiga) dan masing-masing seorang warga Laos dan Cambodia.
“Turut ditahan, lima lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus, kapten dan penjaga premis manakala empat pelanggan yang berada di premis ketika serbuan diberikan Borang Imigresen 29 (saman saksi) bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar Khairul Dzaimee, ketika serbuan, terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita warga asing bersama penyelia premis melalui pintu belakang dan cubaan melompat dari tingkap di tingkat satu namun berjaya disekat oleh anggota serbuan yang membuat kepungan awal.
“Kita dapati terdapat premis yang mengubah suai pintu masuk ke bilik-bilik urut dengan papan kayu dan hiasan seperti bunga-bunga dinding dengan tujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Pemeriksaan juga mendapati premis tersebut menyalahgunakan lesen perniagaan sedia ada dan terdapat premis yang langsung tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan siasatan dijalankan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.-UTUSAN ONLINE










