KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan tidak mahu parti itu terjebak dengan mana-mana gerakan menerusi pintu belakang bagi membolehkan UMNO kembali menjadi lebih-lebih lagi ketika wujudnya dakwaan berlaku perebutan kuasa dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tidak akan membiarkan parti dikaitkan dengan dakwaan kewujudan kem tertentu sama ada diketuai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jika UMNO mahu kembali menjadi kerajaan, biarlah dengan cara bermaruah dan berdasarkan realiti kehendak rakyat.
“Ingin ditegaskan bahawa kita berpendirian tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kem yang hari ini didakwa sedang bergolak dalam kerajaan sama ada kem Dr. Mahathir atau Anwar.
“Kita konsisten dengan hal ini sejak Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Pemuda tidak relakan perundingan pintu belakang berlaku untuk menjadi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Asyraf Wajdi dalam pada itu berkata, UMNO sendiri tidak mahu mencampuri isu berkenaan penularan video seks songsang yang dikatkan dengan seorang menteri Kabinet baru-baru ini.
Pada masa sama beliau berkata, setiap Exco Pemuda UMNO akan diberi portfolio berasaskan kementerian bagi memantau secara dekat terhadap sesebuah kementerian.
“Setiap exco bertanggungjawab menyerang atau mendedahkan kepada rakyat apa juga kepincangan yang berlaku dalam kementerian-kementerian dan memberi pandangan bersifat konstruktif berdasarkan pengalaman UMNO mentadbir sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










