KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menganggap Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong lebih baik daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dominic berkata, walaupun sebelum ini Chin Tong mengeluarkan kenyataan yang kursus pendidikan negara China boleh diteruskan tanpa perlu usaha menambah baik, tetapi Pengerusi DAP Johor itu telah pun melakukan permohonan maaf secara terbuka.
“Tindakan Chin Tong memohon maaf itu lebih baik daripada Menteri Pendidikan yang masih belum melakukan permohonan maaf walaupun banyak kesilapan dibuat dalam isu ini.
“Saya percaya rakyat akan memaafkan Chin Tong. Bagaimanapun, rakyat tidak akan memaafkan seorang pemimpin yang tidak pernah melakukan permohonan maaf walaupun telah melakukan kesilapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dominic turut mengingatkan Chin Tong agar berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.
Katanya, Gerakan akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk memantau kerajaan dan membuat kritikan demi mempertahankan hak serta kepentingan semua kaum. – UTUSAN ONLINE










