Keluarga mangsa MH17 harap hukuman setimpal - Utusan Malaysia

Keluarga mangsa MH17 harap hukuman setimpal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Keluarga ketua pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Azrina Yakob yang terlibat dalam tragedi ditembak jatuh di timur Ukraine berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap suspek kejadian itu.

Ia susulan pendedahan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) diketuai Belanda hari ini yang menamakan tiga orang warga Rusia dan seorang warga Ukraine sebagai perancang utama dalam tragedi itu.

Ibu Azrina, Habibah Ismail, 70, berkata, perkembangan terbaharu itu merupakan perkara yang amat dinanti-nantikan mereka sekeluarga sejak lima tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun sudah lima tahun berlalu, saya sendiri dan keluarga mangsa-mangsa yang lain menunggu perkembangan ini kerana kami hanya mahukan keadilan serta hukuman setimpal.

“Kami juga ingin tahu punca pesawat MH17 itu ditembak kerana saya sangat kecewa kejadian tembakan seperti itu tidak patut berlaku kepada kapal terbang yang membawa penumpang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

JIT dalam satu sidang akhbar di Belanda memaklumkan keempat-empat suspek itu bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah wilayah Donetsk ketika kejadian.

Keempat-empat suspek terbabit akan didakwa di Mahkamah Jenayah Belanda.

Pesawat Malaysian Airlines itu meletup ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semua 298 penumpang yang sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal dari negara ini terbunuh dalam tragedi terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini