TUMPAT – Polis menahan enam lelaki termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam 10 kes jenayah berkaitan samun, pecah rumah dan curi kenderaan sejak lebih setahun lalu.
Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 38 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan bermula penghujung Mei lalu hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, mereka juga terlibat dalam kes ragut seorang suri rumah yang diseret kereta sejauh lima meter di Wakaf Bharu pada Mei lalu.
Katanya, mereka juga mempunyai kaitan kes samun di Pasir Puteh, Kota Bharu dan beberapa kes pecah rumah di Tumpat dan curi kenderaan.
“Enam suspek ini ditahan secara berasingan sejak penghujung Ramadan lalu sehingga semalam dan kesemua suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau.
“Seorang lagi suspek berusia 37 tahun dari kumpulan terbabit masih diburu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat di sini hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial kejadian berlaku di Wakaf Bharu pada 24 Mei lalu apabila empat suspek menyamun seorang wanita berumur 57 tahun.
Dalam kejadian itu, mangsa diheret sejauh lima meter sehingga cedera di badan serta kaki.
Penjenayah menaiki kereta Proton Waja sebelum itu terlibat dengan kes penipuan isi minyak menggunakan kereta sama di stesen minyak Wakaf Bharu.
Ab. Rashid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan barang kes termasuk televisyen, komputer riba, kunci kenderaan dan kereta Perodua Myvi yang terlibat kes curi kenderaan dirampas.
“Pihak polis turut menyita kereta Proton Waja yang terbabit dengan kes ragut di Wakaf Bharu,” ujarnya. K! ONLINE











