SEREMBAN – Polis telah merakam percakapan 10 saksi dalam kes penghuni sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Seremban 3 dekat sini yang didakwa diabaikan dan didera.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, sehingga kini, polis telah menerima sebanyak tujuh aduan berkaitan isu tidak puas hati terhadap pihak pengurusan premis pusat jagaan tersebut.
Katanya, siasatan dimulakan selepas polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 34 tahun, kelmarin.
“Pengadu mendakwa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada bekas pekerja pusat jagaan itu yang menyatakan berlaku kes penderaan ke atas penghuni premis tersebut.
“Laporan polis yang dibuat oleh pengadu juga adalah rentetan daripada sebuah rakaman video yang tular di media sosial mengenai kelakuan seorang wanita di premis tersebut sedang membuli seorang wanita warga emas yang disyaki berlaku di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Semalam, media melaporkan sebuah pusat jagaan warga emas di sini didakwa mengabaikan penghuninya malah mereka juga dikatakan didera sejak kira-kira dua tahun lalu.
Maklumat itu tular selepas status mengenainya dimuat naik oleh sebuah akaun Facebook, ‘Cik Pah Cik Ton’ yang mendakwa sebagai pembela warga emas sejak petang kelmarin.
Pemilik akaun tersebut mendakwa, penghuni pusat jagaan warga emas berbayar itu antara lain dipukul, dikurung, dibiarkan kelaparan dan diikat di kerusi oleh penyelia wanita premis tersebut.
Hock Poh berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 351/352 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











