Anggap perbalahan satu titik hitam, Erra enggan panjangkan cerita - Utusan Malaysia

Anggap perbalahan satu titik hitam, Erra enggan panjangkan cerita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR- Primadona Filem Melayu, Erra Fazira memilih untuk tidak memperincikan sebab musabab yang mencetuskan pergaduhannya dengan rakan baiknya, Datin Seri Umie Aida yang mengejutkam dunia hiburan tanah air sejak minggu lalu.

Pemilik nama sebenar Fazira Wan Chik itu bertegas memilih untuk berdiam diri di atas pilihan sendiri dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya mohon maaf kepada rakan-rakan media kerana anda tidak akan mendapat jawapan untuk semua persoalan yang anda mahukan daripada saya pada hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya enggan panjangkan isu dan hanya ingin mengenang apa yang berlaku sebagai satu titik hitam dalam kehidupan saya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar program Mingguan Wanita di The Garden Mall, di sini sebentar tadi.

Tambah pelakon filem Pasrah itu, dia hanya mohon agar peminat mendoakan perjalanan hidupnya selepas ini lebih tenang.

“Setiap apa yang berlaku dalam hidup ini, saya ambil sebagai satu pengajaran tidak kira baik atau buruk.

“Soal saya berduka atau tidak, biarlah saya simpan sendiri. Saya ada tempat (Allah) untuk saya mengadu nasib,” ulasnya.

Terdahulu, isu perbalahan antara Erra dan Umie menjadi topik hangat dalam kalangan peminat dunia seni apabila aktres Dukun itu memuat naik status luahan rasa kecewa terhadap seorang sahabat baiknya sehingga banyak pihak mendakwa individu yang dimaksudkan Umie ialah Erra.

Beberapa hari kemudian, Erra membuat pengakuan terbuka dan permohonan maaf menerusi Instagram terhadap Umie atas kesilapan yang telah dilakukannya.

Sehari selepas permohonan itu, Umie memuat naik video yang menunjukkan mereka berdua bertemu dan bersemuka berkenaan isu tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini