SEREMBAN – Restoran Nasi Kandar Liga Maju mengembangkan lagi perniagaannya apabila membuka cawangan pertama di Seremban 2 di sini hari ini.
Pengarah restoran itu, Mohd. Ismail Abu Bakar berkata, beliau memiliki lapan lagi restoran di Pulau Pinang dan membuat keputusan membuka cawangan baharu itu kerana yakin dengan potensi perniagaan makanan di negeri ini.
Katanya, selain itu beliau juga sememangnya berhasrat membuka restoran di Negeri Sembilan yang merupakan negeri kelahirannya.
“Restoran ini beroperasi selama 23 jam setiap hari dengan menyediakan nasi kandar yang dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun keluarga saya.
“Saya menimba pengalaman daripada ayah dan datuk, buat katering, pernah ikut dan belajar daripada mereka. Contohnya, majlis pada hari ini saya masak sendiri makanan untuk orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri dan perasmian pembukaan restoran itu yang disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.
Mengulas lanjut, Mohd. Ismail berkata, pihaknya sedang dalam proses mendapatkan sijil halal bagi memastikan restoran tersebut diyakini pelanggan dari aspek penyediaan makanan halal serta kebersihan premis.
“Semua pekerja dan tukang masak adalah beragama Islam.
“Saya beri jaminan restoran ini akan menawarkan makanan yang dijamin halal, bersih dan layanan yang baik serta berharap penduduk di negeri ini akan memberi sokongan kepada kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE











