Gagasan Kemakmuran Bersama jadi falsafah RMK-12 - Utusan Malaysia

Gagasan Kemakmuran Bersama jadi falsafah RMK-12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) telah mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan Gagasan Kemakmuran Bersama menjadi falsafah dan tulang belakang kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang prosesnya baru sahaja dimulakan.

MOHAMED AZMIN ALI

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Gagasan Kemakmuran Bersama bukan gagasan sekadar untuk meningkat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tetapi mengutamakan kepentingan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita percaya potensi ekonomi negara pada hari ini masih tidak digunakan secara menyeluruh dan mampu berkembang sekurang-kurang sekali ganda.

“Gagasan ini menekankan persoalan membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi dan negara dengan lebih pesat, keluar dari model ekonomi yang menggunakan buruh secara intensif, kepada ekonomi masa depan yang menekankan adaptasi kepada teknologi, automasi dan ekonomi intelek (K-Economy),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, gagasan tersebut akan menekankan kepada penggunaan bakat sumber manusia dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara kepada potensi yang terbaik.

Langkah itu tambahnya, akan memastikan kekayaan yang dihasilkan negara dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kelas, kaum mahupun wilayah.

“Kemakmuran Bersama harus memastikan jurang ekonomi, pendapatan dan penyertaan dalam rantaian bekalan dapat diminimumkan terutama di kalangan masyarakat Melayu, masyarakat Orang Asli, bumiputera Sabah Sarawak dan golongan relatif miskin supaya kekayaan negara dapat benar-benar dirasai bersama.

“Atas semua strategi dan gagasan ini kita mengharapkan Gagasan Kemakmuran Bersama akan mampu mengurangkan jurang ekonomi dikalangan rakyat dan mempertumbuhkan ekonomi dengan lebih rancak,” ujarnya.

Menurutnya, tujuan gagasan itu adalah untuk kepentingan rakyat yang lebih menyeluruh justeru, pihaknya mengharapkan gagasan tersebut bukan hanya datang dari kerajaan kepada rakyat (top-down approach).

Sebaliknya, beliau berkata, ia seharusnya mendapat pandangan dan maklum balas dari rakyat, industri dan masyarakat sivil (bottom-up approach) supaya ia mampu menjawab dan menyelesaikan kehendak dan keperluan rakyat.

“Maka, kementerian akan mengambil tanggungjawab untuk mengadakan konsultasi dan mendapatkan maklum balas dari semua pemegang taruh, termasuk kumpulan pekerja, peniaga dan pemain industri untuk memastikan gagasan ini akan menjadi milik rakyat secara bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini