Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini agak kalut suasananya walaupun kelihatan meriah “di atas permukaan”.
Bermula dengan isu pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu hinggalah isu video seks luar tabii yang sedang hangat diperkatakan.
Dan kekalutan terbaharu, rakyat diminta bersiap sedia menghadapi kemelut ekonomi yang dijangka memburuk akibat dari perseteruan dua negara ekonomi gergasi dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China, melibatkan perang perdagangan dua negara itu.
Apa yang berlaku ini seolah-olah ulangan daripada peristiwa hitam yang pernah mencacat sejarah buruk negara sekitar tahun 1998.
Lebih menyedihkan peristiwa buruk ini melibatkan kepercayaan orang ramai yang jelas memesongkan pemikiran dan menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan.
Kini ia berulang sekali lagi. Ini adalah satu tahap politik jelik dan jijik yang akan hanya merosakkan imej negara dan membebani rakyat dengan kisah seks pelik yang kita sendiri tak tahu nak jawab apa bila anak-anak mula bertanya.
Walaupun belum diketahui tahap kebenaran siapa pelaku dan pihak terlibat dalam skandal video seks luar tabii itu, namun dalam dunia yang begitu dikuasai media sosial sekarang ini seolah-olah keputusan telah diputuskan oleh orang ramai.
Malah ia terpulang kepada parti mana yang disokong dan bukan mahkamah menentukannya.
Oleh itu, mahu atau tidak rakyat sekali lagi terpalit sama dalam dua senario buruk yang mampu memberi kesan buruk jika tidak ditangani dengan baik dan berkesan.
berkecamuk
Agak menyedihkan kerana rakyat sekali lagi diheret dalam suasana mengeruhkan yang pernah dilalui ketika kemelut ekonomi dan politik pada 1998.
Kini sekali lagi kita berdepan dengan isu manipulasi ekonomi melibatkan gergasi ekonomi dunia, membuatkan kita berhadapan situasi gajah sama gajah bergaduh, kancil mati di tengah-tengah.
Itulah nasib negara kecil seperti Malaysia yang tidak ubah seperti mentimun digelek ke kiri atau kanan, nasib tetap sama, tidak ada bezanya.
Bagi saya yang membesar dan memerhati dalam suasana politik dan ekonomi tidak keruan pada 1998 itu, perkara paling menyedihkan ketika itu adalah melihat pencetus kepada perpecahan Melayu akibat kemelut antara kepemimpinan politik.
Tidak ada pihak yang mendapat untung melainkan orang luar, dan bukan Melayu tersenyum dan bertepuk tangan melihat bagaimana kita bertelagah sesama sendiri, cuba menegakkan siapa salah dan siapa betul.
Betullah cakap bijak pandai politik, tiada kawan dan lawan yang kekal dalam bidang yang sering diistilahkan sebagai seni segala kemungkinan.
Politik membuktikan seteru kuat sejak hampir 20 tahun akhirnya mampu bersama dan berpelukan semula untuk menumbangkan kerajaan yang dikatakan kleptokrasi.
Kita boleh andaikan begitu hebat orang Melayu berpolitik yang hampir tidak pernah berlaku di negara lain.
Hakikatnya tidak ada siapa menang melainkan politik orang Melayu semakin berkecamuk umpama retak menanti belah.
Namun di sebalik itu kemuncak pertelagahan adalah apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan setelah hampir 20 tahun berjuang, kecuali DAP yang mempunyai sejarah lebih panjang.
Yang jelas, masih belum nampak jalan penyelesaian pertelagahan antara sekutu sesama PH yang semua maklum, tidak ada perdamaian sebenar walaupun berjaya membentuk kerajaan.
Malah perseteruan siapa akan menjadi Perdana Menteri masih berterusan, merosakkan aura dan momentum yang terbina tatkala memenangani PRU lepas.
mentaliti
Adalah sesuatu yang menyedihkan kerana saya ingat biarlah generasi kami yang terakhir akan menjadi saksi bagaimana skandal sekeji ini dipergunakan sebagai taktik politik licik.
Namun disangkakan panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Sekali lagi kita dikejutkan dengan skandal lebih kurang sama, cuma bezanya kali ini dilengkapi bukti rakaman video dan pihak yang satu lagi tanpa segan silu mengaku dia adalah orang di dalam video. Manakala seorang lagi menafikan.
Namun bagi saya kemelut yang berlaku ini turut menguji tahap kesetiaan dan semangat tinggi rakyat untuk berkorban demi negara.
Ini dilihat mampu menjadi senjata ampuh dalam sekali lagi menyelesaikan kemelut ekonomi negara.
Oleh itu adalah penting untuk semua pihak di negara ini bersatu dan mengenal pasti masalah ekonomi yang melanda dan menguruskan isu itu secara bersama sebagai rakyat Malaysia.
Paling penting rakyat perlu bersatu padu dan pada masa sama menolak perbezaan politik walaupun taktik gutter politik sekali lagi mewarnai negara.
Namun agak ralat sebenarnya melihat politik Malaysia masih lagi di tahap “ longkang” kerana menggunakan taktik kotor sebegini untuk menjatuhkan orang.
Sampai bila kita hendak matang dalam politik, entah bolehkah berlaku perkara sedemikian. Kita mengaku negara Islam tetapi terdapat mereka berkelakuan seperti orang yang tidak ada akhlak dan mentaliti lebih Barat daripada orang putih.
Cukup-cukuplah berfikiran sempit sebegini, bunuh membunuh sesama Melayu menggunakan skandal demi skandal hanya kerana kelangsungan secebis kuasa politik, yang hanya sementara sifatnya.
Kita pula sejak minggu lepas sebagai rakyat biasa nampaknya terpaksa meraikan hari raya dalam keadaan terpana akibat tersebarnya skandal seks luar tabii yang dikatakan melibatkan seorang menteri kanan dalam kepimpinan negara.
Ulangan seterusnya apabila kita diberi pesanan supaya bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang semakin suram dan sukar berikutan ancaman luaran yang semakin membahang dan tidak menentu akibat rembesan dua kuasa besar dunia yang bertelagah.
Menurut pakar ekonomi terkemuka negara, Dr. Jomo Kwame Sundaram, rakyat Malaysia perlu bersedia mengharungi tempoh sukar memandangkan ekonomi kini berdepan isu sebenar di tengah-tengah situasi luaran yang tidak dapat diselesaikan malah semakin bertambah buruk hampir setiap hari.
Beliau yang juga Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkata, kebanyakan masalah itu berada di luar kawalan kerajaan, dan rakyat sewajarnya bersedia untuk melalui perang ekonomi melibatkan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kerana ia juga melibatkan sebahagian daripada ekonomi negara.
Malaysia dijangka akan tersepit dalam perang ekonomi itu memandangkan China merupakan rakan dagang utama selain terdapat banyak pelaburan antara dua negara itu antaranya dalam usaha sama seperti Proton dan Geely.
Selain itu negara perlu mula memikirkan mengenai pelaburan domestik yang akan menjadi penyelamat ekonomi ini sekali lagi seperti 1998 berbanding menumpukan usaha ke atas pelaburan asing, apatah lagi kelembapan ekonomi di Malaysia telah berlaku apabila harga komoditi di Malaysia semakin merudum dan dijangka situasi ini tidak akan pulih serta-merta.
Kini kita dipaksa sekali lagi terhimpit dalam skandal politik yang meloyakan dan pada waktu sama dihimpit kegusaran pusaran ekonomi yang semakin membungkam akibat tindakan dan ketamakan pihak luar yang hanya pentingkan diri dan tembolok masing-masing.
Jika dahulu kerana ketamakan segelintir pihak melalui tindakan spekulator membuat keuntungan segera melibatkan dagangan mata wang asing atau forex mencecah puluhan billion ringgit yang hampir membuatkan negara bankrap.











