Dakwaan cuba tutup salah laku turut disiasat - Utusan Malaysia

Dakwaan cuba tutup salah laku turut disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Siasatan terhadap sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Seremban 3 dekat sini sedang giat dijalankan oleh semua pihak berkuasa berkaitan.

Ia turut merangkumi dakwaan menutup atau ‘cover up’ perbuatan salah laku di pusat berkenaan yang kini menempatkan 12 penghuni.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya berharap siasatan itu dapat disiapkan secepat mungkin tetapi tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk berbuat demikian.

“Selepas dakwaan itu tular dalam media sosial malam kelmarin, saya telah melawat pusat berkenaan pada malam itu juga. Semasa lawatan itu, tidak ada perkara yang mencurigakan. Pusat itu mempunyai kebenaran untuk beroperasi dan memenuhi peraturan yang dikehendaki undang-undang.

“Bagaimanapun, kita akan melakukan siasatan lebih terperinci bagi memastikan kebenaran dakwaan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan sebuah pusat jagaan warga emas di sini didakwa mengabaikan penghuninya malah mereka juga dikatakan didera sejak kira-kira dua tahun lalu.

Maklumat itu tular selepas status mengenainya dimuat naik oleh sebuah akaun Facebook, ‘Cik Pah Cik Ton’ yang mendakwa sebagai pembela warga emas sejak petang kelmarin.

Pemilik akaun tersebut mendakwa, penghuni pusat jagaan warga emas berbayar itu antara lain dipukul, dikurung, dibiarkan kelaparan dan diikat di kerusi oleh penyelia wanita premis tersebut.

Yang menyedihkan, dakwanya warga emas itu juga dipaksa minum air kencing, makan cili dan diberi ubat tidur secara berlebihan.

Susulan itu, empat bekas pekerja pusat jagaan warga emas itu tampil petang semalam untuk mendedahkan bahawa kejadian mengabaikan dan mendera penghuni pusat itu seperti yang tular dalam media sosial benar-benar berlaku.

Mereka mendakwa, semua perbuatan itu dilakukan oleh seorang individu wanita yang dipercayai penyelia pusat berkenaan sejak ia beroperasi pada 2016.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berhubung dakwaan tersebut dan siasatan sedang dijalankan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×