PUTRAJAYA – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2019 iaitu Hari Raya Puasa, Hari Gawai dan Pesta Keamatan mencapai kejayaan apabila mencatatkan kadar pematuhan yang sangat tinggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 60,878 premis telah dipantau sepanjang pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2019 yang berakhir hari ini.
Beliau berkata, hanya 362 premis dikesan melakukan kesalahan, dengan 13 kes menjual melebihi harga masimum, 307 kes tidak pamer tanda harga khas dan 42 kes tidak pamer tanda harga.
“Untuk 362 kesalahan yang dicatatkan, jumlah kompaun telah dikeluarkan sebanyak RM46, 550 dan jumlah barangan rampasan bernilai RM46, 623,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di sini hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, bagi SHMMP Pesta Kaamatan pula, daripada 4,775 premis yang dipantau, hanya lima yang dikesan melakukan kesalahan iaitu tidak mempamerkan tanda harga khas, membabitkan kompaun berjumlah RM700 dan rampasan RM194.
Bagi SHMMP Hari Gawai pula katanya, sebanyak 4,515 premis telah dipantau dan hanya dua melakukan kesalahan membabitkan kompaun sebanyak RM200 dan nilai rampasan RM179.
“Selain kadar pematuhan yang tinggi terhadap harga maksimum yang ditetapkan di bawah SHMMP bagi ketiga-tiga perayaan, banyak premis perniagaan juga telah menjual barangan keperluan pada harga lebih murah.
“Ini memberi isyarat bahawa dalam pelaksanaan skim kawalan harga pada masa akan datang, tambah hari (hari kawalan daripada 15 kepada 30 hari) dan barangan (barangan kawalan daripada 21 kepada 27) boleh dilaksanakan dengan syarat bekalan barangan mencukupi, “ katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, kejayaan itu hasil kerjasama erat semua pihak bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan pada harga berpatutan semasa musim perayaan.
Kejayaan itu juga katanya, hasil kejayaan kementerian dalam membuat unjuran bekalan barangan keperluan di musim perayaan sehingga meyakinkan peniaga untuk tidak menaikkan harga.
“Ia juga hasil kejayaan kawalan ketat di pintu masuk sempadan contohnya MAQIS dalam membanteras penyeludupan barangan.
“Kita bagaimanapun tidak boleh berpuas hati sepenuhnya dan akan cuba yang terbaik pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











