Batik merupakan khazanah tradisi yang diwarisi secara turun-temurun daripada nenek moyang kita. Kain batik mempunyai beberapa reka bentuk unik seperti lakaran corak bunga, tumbuh-tumbuhan dan abstrak.
Sebut sahaja mengenai batik, sudah semestinya kita akan terbayangkan busana tradisional seperti kebaya dan baju kurung yang dipadankan dengan kain batik.
Namun, penggunaan batik sarung untuk reka bentuk blaus dalam industri fesyen di negara kita sudah semestinya menimbulkan imej lebih moden dan trendy.
Itu diakui oleh Rasta Rashid, 42, mengenai penggunaan batik dalam setiap rekaan blaus moden yang dihasilkan olehnya atas faktor kecintaan yang amat mendalam terhadap seni batik.
“Saya menghasilkan pelbagai jenis pakaian moden menggunakan material batik moden seperti jaket hoodies, jaket bomber, cheongsam, skirt kembang dan banyak lagi.
“Rekaan menggunakan batik ini menggabungkan elemen moden dan tradisional iaitu 100 peratus kain kapas batik tradisional dan rekaan yang lebih moden berbanding dahulu,” katanya.
Mengulas lanjut, Rasta memberitahu bahawa rekaan menggunakan batik menampilkan kreativiti iaitu mengubah reka bentuk kebiasaan batik sarung dengan reka bentuk yang unik.
“Meskipun harganya sedikit mahal kerana menggunakan batik sarung yang berkualiti dari Kelantan dan Terengganu, namun ia masih mendapat permintaan yang menggalakkan daripada orang ramai.
“Baju tersebut boleh digayakan untuk semua aktiviti sama ada untuk membeli-belah, ke kelas, pejabat dan banyak lagi kerana mempunyai gaya kasual,” katanya.
Tambahnya, fesyen batik itu dijual secara dalam talian dan butik tersebut telah diusahakan sejak 2015. Sejak berada di pasaran, Rasta berjaya mengubah mentaliti masyarakat mengenai pemakaiaan batik adalah ketinggalan.
“Pemakaian batik sarung kini adalah penuh kreativiti dan saya sebagai seorang pereka fesyen berjaya menembusi pasaran luar negara,” katanya.











