Elakkan ibadah bermusim - Utusan Malaysia

Elakkan ibadah bermusim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN telah berlalu lebih dua minggu dengan penuh syahdu dan hiba bagi insan yang menghendakinya. Ini kerana bulan penuh dengan keberkatan dan digandakan ganjaran bagi segala amal kebajikan itu telah pergi meninggalkan kita.

Setelah sebulan umat Islam bermuhajadah melakukan ibadat wajib iaitu berpuasa, adalah mustahil bagi mereka yang serius dalam mencari segala kelebihan ganjaran dalamnya untuk melepaskan pelbagai ibadat sepanjang bulan mulia tersebut seperti bersedekah, membaca al-Quran dan qiyamullail.

Di samping berbuat kebajikan, sudah tentulah mereka akan meninggalkan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa. Ia semata-mata untuk mendapatkan martabat yang tinggi di sisi sang Pencipta dan pengampunan daripada-Nya.

Hal ini disebut dalam hadis Nabi SAW maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya daripada dosa-dosanya.” – Riwayat Bukhari

Namun persoalannya, berapa ramaikah dalam kalangan orang Islam yang konsisten meneruskan segala amalan sepertimana yang dilakukannya ketika Ramadan?

Perkara ini sering diperingatkan oleh ramai agamawan supaya umat Islam terus kekal konsisten dalam beribadat kepada Allah walaupun selepas berakhirnya Ramadan.

Hal ini kerana didapati segelintir umat Islam tekun dan bersungguh-sungguh melakukan ibadat hanya dalam bulan Ramadan tetapi tidak pada bulan-bulan yang lain.

Golongan seperti ini digelar sebagai hamba Ramadan. Mereka beribadat hanya mengikut musim iaitu pada bulan Ramadan sahaja. Perbuatan ini dilihat seolah-olah tidak ikhlas dan menyembah Ramadan apabila sesuatu ibadat dilaksanakan dengan melihat ganjaran tertentu yang disediakan pada masa tertentu.

Oleh itu, istiqamah atau konsisten merupakan suatu elemen yang penting dalam diri seseorang untuk menjadikannya berterusan dalam mengerjakan sesuatu ibadah.

Istiqamah dalam beribadat merupakan ciri-ciri orang beriman yang hakiki kepada Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya mereka telah berkata Allah sebagai tuhan kami kemudian mereka beristiqamah.” (al-Ahqaf: 13)

Tafsiran bagi istiqamah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah berterusan dalam mentaati Allah dan beramal soleh (Tafsir Ibnu ‘Atiyyah, 1974, Jilid: 5, Ms: 96).

Selain itu, terdapat riwayat hadis bahawa Nabi SAW pernah ditanya: “Apakah amalan yang paling disukai Allah? Baginda bersabda: Amalan yang dilakukan secara berterusan meskipun sedikit.” – Riwayat Bukhari

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya implikasi amalan yang dilakukan secara istiqamah walaupun tidak banyak. Dalam konteks ini, setiap Muslim diingatkan supaya kekal berlumba mencari reda Allah yang tidak terhenti apabila berakhirnya Ramadan.

AMALAN YANG DITUNTUT

Antara amalan yang sangat dianjurkan untuk seseorang istiqamah selepas Ramadan ialah:

1- Puasa enam Syawal

Puasa ini disunatkan bagi setiap Muslim yang berpuasa penuh pada bulan Ramadan. Fadilatnya sangat besar di sisi Allah sehingga diberikan ganjaran pahala seumpama puasa setahun.

Sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada Syawal maka seperti dia berpuasa sepanjang tahun.” – Riwayat Muslim

Secara tidak langsung, amalan ini memberi ruang kepada setiap Muslim untuk berterusan berpuasa selain daripada puasa yang diwajibkan.

2- Puasa Isnin, Khamis

Selain itu, umat Islam turut digalakkan untuk berpuasa pada Isnin dan Khamis. Puasa ini merupakan amalan disukai Rasulullah yang perlu diikuti oleh umatnya.

Diriwayatkan dalam hadis, Nabi SAW ditanya tentang puasa Isnin. Baginda menjawab: “Pada hari tersebut aku dilahirkan dan hari aku diutuskan sebagai Rasul atau (syak perawi hadis) diturunkan kepadaku al-Quran.” – Riwayat Muslim

Sekiranya seseorang dapat mengerjakannya secara istiqamah sepanjang hayatnya, maka objektif utama puasa iaitu mendapatkan darjat takwa daripada Allah mudah-mudahan tercapai.

3- Solat berjemaah dan qiyamullail

Ibadat seperti solat fardu lima waktu, tarawih dan witir kebanyakannya dilaksanakan di surau atau masjid secara beramai-ramai demi mendapatkan ganjaran berlipat ganda.

Tambahan pula terdapat di sesetengah tempat, tidak cukup dengan solat tarawih sahaja malah disambung pula dengan qiyamullail selepas itu.

Kesungguhan beribadat seperti ini perlu dikekalkan pada bulan lain supaya dapat melatih diri seseorang untuk sentiasa solat berjemaah di rumah Allah sebagaimana kesungguhannya ketika Ramadan.

Justeru, seseorang memerlukan usaha dan pengorbanan besar untuk istiqamah dalam ibadat. Antara cara untuk istiqamah ialah sentiasa berdoa kepada Allah supaya memberikan kekuatan dalam beramal, menghadirkan niat yang ikhlas terhadap-Nya, melazimi orang soleh dan tinggal dalam biah solehah (suasana yang baik) yang dapat mendorong diri sentiasa melakukan kebaikan.

Selain itu, setiap Muslim perlu menjauhi daripada membudayakan ‘ibadat bermusim’ iaitu bersungguh-sungguh beramal hanya pada masa tertentu.

Ia bertujuan menjaga dan melatih hati seseorang untuk melakukan sesuatu amalan itu semata-mata mengharapkan keredaan Allah, bukan pujian makhluk. Oleh itu, istiqamah sangat dituntut dalam agama supaya umat Islam sentiasa ikhlas dan tidak ‘menyembah’ Ramadan, tetapi Allah iaitu raja segala raja.

Segala amalan dilakukan sepanjang Ramadan tidak harus terhenti pada bulan-bulan lain.

Elak daripada menjadi ‘hamba’ Ramadan yang melakukan ibadah secara bermusim.

Istiqamah memerlukan pengorbanan dan cabaran yang besar.

Amalan disukai Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit.

Jadikan madrasah Ramadan sebagai permulaan amal pada bulan-bulan seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×