KUMPULAN Utusan tetap menyalakan obor perjuangan akhbar Utusan Melayu dan semangat 29 Mei 1939 walaupun terpaksa memberhentikan penerbitannya pada 29 Januari 2006 kerana tiada sambutan pembaca.
Namun, demi tanggungjawab terhadap bangsa dan warisan negara ini, Utusan Melayu diterbitkan semula mulai 1 Mei 2006 sebagai akhbar mingguan dengan nama Utusan Melayu Mingguan menerusi kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pendidikan.
Walau bagaimanapun, edisi cetak Utusan Melayu terpaksa dihentikan sekali lagi penerbitannya pada Julai 2013 dan kini ia diterbitkan dalam edisi digital yang boleh diakses melalui langganan akhbar elektronik Utusan Malaysia setiap Isnin.
Dedikasi Utusan untuk memartabatkan Utusan Melayu dan tulisan Jawi turut mendapat sokongan moral Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menzahirkan perasaan hiba dengan nasib akhbar ulung Utusan Melayu yang tidak dapat diteruskan penerbitannya kerana kurang sambutan dalam kalangan pembaca bangsa Melayu.
Akhbar Utusan Malaysia pada 2 Mac 2016 melaporkan Sultan Nazrin menzahirkan perasaan dukacita akibat peristiwa berkuburnya akhbar bertulisan jawi terbitan Kumpulan Utusan itu adalah manifestasi yang membuktikan betapa lemahnya semangat jati diri dan nasionalisme orang Melayu untuk mempertahankan warisan bangsa.
Titah baginda, Utusan Melayu bukan hanya sebuah akhbar malah, ia merupakan institusi bersejarah milik bangsa yang amat berjasa dalam memperjuangkan martabat orang Melayu.
“Begitu mudah bangsa melupakan jasa dan perjuangan sebuah institusi bersejarah, betapa mudahnya sikap kacang lupakan kulit berlaku hanya selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan dalam kalangan mereka yang sudah mendapat nikmat hasil daripada perjuangan akhbar Utusan Melayu.
“Bangsa begitu cepat lupa, bahawa kejayaan sebahagian besar daripada mereka pada hari ini, menjadi kapten pelbagai konglomerat, industri dan syarikat perniagaan telah dijaguhkan oleh suara perjuangan yang digemakan oleh akhbar bertulisan jawi itu,” titah baginda ketika merasmikan Utusan Business Awards 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 Mac 2016.
Hakikat bahawa akhbar Utusan Melayu terpaksa dihentikan penerbitannya berdasarkan pertimbangan yang diletakkan di atas dacing perniagaan, semata-mata kiraan untung dan rugi adalah amat silap dan menyedihkan baginda.
Titah baginda, huruf dan tulisan jawi telah lama berakar di negara ini dan merupakan sebahagian daripada budaya dan identiti bahasa Melayu.
Lebih menghibakan baginda, hayat akhbar Utusan Melayu ditamatkan ketika orang Melayu memegang tampuk kuasa politik dan menerajui pelbagai GLC dalam negara yang merdeka.
“Ketika menghadapi hari-hari terakhir hayatnya, beta disembah maklumkan Utusan Melayu ketika memohon dan merayu untuk mendapatkan sokongan telah dilayani bagaikan pengemis jalanan oleh cerdik pandai Melayu yang menjadi kapten pelbagai konglomerat, industri dan syarikat perniagaan, yang tidak langsung menunjukkan semangat mahu membantu, memberikan talian hayat untuk penerusan satu warisan bangsa yang amat berharga,” titah baginda (Utusan Malaysia 2 Mac 2016).
Titah baginda, akhbar itu juga diperlekehkan kerana dianggap tiada memiliki nilai komersial sedangkan huruf dan tulisan jawi mendapat tempat utama dalam persuratan Melayu, berperanan sebagai huruf yang digunakan dalam urusan surat-menyurat utama dan watikah penting raja-raja Melayu serta kekal digunakan di istana raja-raja Melayu sehingga ke hari ini.
Baginda bertitah, nasib yang menimpa akhbar Utusan Melayu itu adalah satu tamparan yang sepatutnya menyedarkan dan menginsafkan seluruh orang Melayu supaya bangun dari lena dan mimpi-mimpi indah.
“Betapa rapuhnya semangat daya tahan dan betapa tipisnya jati diri bangsa hingga tergamak membenarkan anak diriba mati tak makan,” titah baginda (Utusan Malaysia 2 Mac 2016).
Nur Azuki Yusuff dan Nik Yusri Musa dalam artikel bertajuk Penerimaan Dan Hala tuju Tulisan Jawi: Suatu Tinjauan dari Pandangan Remaja Kini (2012) yang dibentangkan di Seminar Jawi Serantau 2012 Anjuran Pusat Manuskrip Melayu (PUSKAM) menyatakan, detik kemerosotan penulisan Jawi bermula apabila wujudnya Akta Bahasa 1963 yang menetapkan tulisan Rumi menjadi tulisan Rasmi Bahasa Melayu.
“Bermula dari situ, pelbagai kekangan terus dihadapi dalam memurnikan tulisan jawi yang semakin terancam. Sistem ejaan dan tulisannya bagaikan kehilangan akar sejarah dan daya kekuatan untuk bersaing dengan tulisan Rumi.
“Ia semakin sukar ditentukan hala tujunya, kurang berupaya mempengaruhi masyarakat Melayu untuk menguasai diri mempelajarinya (Nur Azuki dan Nik Yusri (2012).
Nur Azuki dan Nik Yusri menyatakan, penguasaan masyarakat Melayu di Malaysia kini dalam bacaan dan ejaan tulisan Jawi sangat menyedihkan, seolah-olah tulisan Jawi tidak mendapat tempat yang jitu di hati bangsa Melayu. Tulisan Jawi pasti berkubur sekiranya tiada pihak yang mengambil berat dan mentranformasikan semula tulisan itu dalam pentadbiran kerajaan, korporat dan kehidupan seharian.
Menurut Nik Azuki dan Nik Yusri, orang Melayu sepatutnya berbangga kerana sebagaimana dimaklumi, penggunaan tulisan Jawi pernah mendominasi Alam Melayu sekitar abad ke-17 dan abad ke-19.
MOMEN & MEMORI











