PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal (KPDNHEP) akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan dalam bulan ini bagi memuktamadkan mekanisme pelaksanaan subsidi petrol bersasar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sedang menunggu tarikh daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mengadakan mesyuarat tersebut.
“Mesyuarat itu akan memperincikan implikasi kewangan, data, proses dan sebagainya. Ini termasuk bila dilaksanakan dan harga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut laporan, subsidi petrol bersasar antara langkah digariskan dalam Belanjawan 2019 untuk mengurangkan kos sara hidup bagi isi rumah B40 yang menerima pendapatan bulanan di bawah RM3,860.
Saifuddin Nasution berkata, pihak kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti persatuan pengusaha stesen minyak dan Bank Negara Malaysia berhubung perkara itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak kementerian sedang merangka rang undang-undang berkaitan Food Bank atau Bank Makanan yang kini di peringkat Pejabat Peguam Negara, bagi memastikan pelaksanaannya lebih sistematik.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan program itu banyak melibatkan pasar-pasar raya dan hotel-hotel namun bilangannya masih minimum.
“Sejak diperkenalkan, kita tidak menerima walau satu aduan mengenai keracunan makanan. Ini kerana, kita melaksanakan rejim kawalan keselamatan yang sangat ketat,” katanya.
Beliau memberitahu, makanan terlibat dalam program itu juga telah dijalankan kajian dan disahkan selamat.
Justeru katanya, program itu mungkin boleh dikembangkan membabitkan mangsa-mangsa banjir pada masa hadapan. – UTUSAN ONLINE











