KOTA BHARU 19 Jun – Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menawarkan diskaun sehingga RM5 untuk setiap saman dan kompaun parkir yang dikeluarkannya sempena Hari Terbuka MPKB-BRI hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, diskaun kompaun itu ditawarkan bermula hari ini dan akan berakhir esok.
“Untuk denda serta kompaun parkir biasanya antara RM10 hingga RM100, tetapi untuk hari ini dan esok, orang ramai hanya perlu membayar RM5 untuk setiap saman.
“Walaubagaimanapun, diskaun ini hanya untuk denda dan kompaun parkir terdahulu sebelum ia diswastakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Izani berkata, selain kompaun parkir, pihaknya turut menawarkan diskaun 50 hingga 70 peratus untuk denda bagi binaan tanpa izin.
“Binaan tanpa izin ini melibatkan pembina rumah ataupun membina bangunan tambahan (menyambung rumah) tanpa kebenaran serta permohonan.
“Denda akan dikenakan untuk rumah kayu adalah 11 kali ganda dari harga plan, manakala untuk rumah batu pula 20 kali ganda,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai perlu mengambil peluang untuk menikmati kadar diskaun ini kerana ia tidak ditawarkan setiap tahun.
“Kita tidak tahu bila pula tawaran sebegini akan dibuat kerana ia bukanlah acara tahunan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











