KKM akan bincang dengan Facebook mengenai sekatan talian hotline larangan merokok - Utusan Malaysia

KKM akan bincang dengan Facebook mengenai sekatan talian hotline larangan merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan bersama syarikat Facebook dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian berhubung sekatan ke atas talian hotline umum larangan merokok oleh pengurusan aplikasi WhatsApp.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum tentang aduan serta laporan media berhubung sekatan tersebut seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

“Menurut maklumat yang saya terima, sekatan ini berlaku selepas terdapat aduan daripada orang awam yang mendakwa talian tersebut melanggar terma dan syarat WhatsApp, yang juga syarikat Faebook.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk makluman, talian hotline berkenaan diwujudkan bagi membolehkan orang ramai membuat laporan kepada KKM sekiranya terdapat perokok yang merokok di tempat awam termasuk restoran tertutup dan terbuka, yang telah diisytiharkan sebagai zon tidak merokok,” katanya dalm satu kenyataan di sini hari ini.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan, usaha kementerian itu untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang larangan merokok di restoran dan tempat awam sejak enam bulan lalu terhalang, selepas talian hotline yang diwujudkan untuk memudahkan aduan awam disekat aplikasi WhatsApp.

Laporan itu menyebut, mesej yang dihantar ke 010-8608949 tidak sampai kepada nombor tersebut tanpa tanda ‘double tick’ pada aplikasi itu untuk menunjukkan ia telah diterima.

Dzulkefly berkata, talian tersebut disediakan bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan maklumat, membuat pertanyaan atau mendapatkan nasihat berkaitan.

Katanya, langkah itu diambil bagi memperkasakan peranan orang awam dalam membantu kementerian melaksanakan larangan merokok, selain meningkatkan kesedaran terhadap bahaya asap rokok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini