KUALA LUMPUR – Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menawarkan ganjaran RM100 kepada orang ramai yang memberi maklumat mengenai aktiviti pembuangan sampah atau sisa komersial secara haram dalam kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A. Hamid berkata, ganjaran itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berjaya memberi maklumat sehingga pelaku diambil tindakan dan menjelaskan bayaran kompaun.
“Ganjaran ini hanya melibatkan pembuangan sampah menggunakan lori bermuatan satu tan dan ke atas di kawasan yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemberi maklumat perlu mengisi borang yang disediakan di Unit Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MDKL dan bersetuju menjadi saksi di mahkamah jika kes berkenaan di bawa ke peringkat perbicaraan.
“Selain itu, sebagai pembuktian, pemberi maklumat perlu mengambil gambar, lokasi, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh kejadian dan masa kejadian yang jelas bila aktiviti pembuangan sampah haram tersebut dilakukan,” katanya.
Ujarnya, tindakan maksimum tanpa kompromi diharapkan dapat membebaskan kawasan sekitar daripada masalah pembuangan sampah haram.
“MDKL akan meneruskan usaha untuk menangkap dan mendakwa mereka yang didapati membuang sampah secara haram.,” katanya. – UTUSAN ONLINE











