Padah buang kulit durian tepi jalan - Utusan Malaysia

Padah buang kulit durian tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Gara-gara membuang selonggok kulit durian di tepi jalan, dua peniaga ditahan dan kenderaan mereka disita oleh penguat kuasa di Jalan SP1, Bandar Saujana Putra, dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah malam, baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A. Hamid berkata, tindakan dilakukan oleh anggota Penguat Kuasa Cawangan Bandar Saujana Putra yang diketuai Wan Putara Noor Shahan Ngadirin selepas menerima aduan orang ramai.

Mohamad Zain berkata, hasil intipan dilakukan, anggota penguat kuasa berjaya menahan dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena di sekitar kawasan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil soal siasat mendapati mereka menjalankan peniagaan buah durian di kawasan berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengenalpasti kesalahan lain yang dilakukan oleh pemuda berkenaan iaitu menjalankan perniagaan tanpa kebenaran daripada MDKL.

“Peniaga ini telah dikenakan notis kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (4), Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan

Sampah Sarap MDKL 2007.

“Selain itu, barangan jualan dan kenderaan mereka juga telah disita di bawah Undang-Undang Kecil (21) (1), Undang-undang Kecil Pemungutan, Pelupusan dan Pelupusan Sampah-Sarap MDKL 2007,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga dan memelihara kebersihan pada setiap masa tanpa mengira tempat dan waktu.

“Perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia menyumbang kepada pertambahan lokasi sampah haram,” katanya.

Dalam pada itu Mohamad Zain berkata, pihak MDKL ada menyediakan tapak perniagaan di Jalan SP1, SP4 dan SP8, Bandar Saujana Putra bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan buah bermusim ini.

“Mereka hanya perlu membuat permohonan permit di MDKL bagi menjalankan perniagaan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini