KUALA NERUS – Produk-produk koperasi dari 10 negara ASEAN yang terlibat dalam program sudut pameran ‘ASEAN Corner’ dijangka dapat dipasarkan pada awal tahun depan.
Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, aktiviti dagangan baharu itu bakal menggalakkan sekali gus memperkasakan lagi perniagaan kira-kira 250,000 koperasi ASEAN untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Katanya, buat masa ini proses mengenal pasti 10 produk itu masih lagi digerakkan di kebanyakan negara dengan Malaysia, Thailand dan Vietnam difahamkan sudah memiliki sudut pameran di ibu pejabat badan koperasi yang mewakili gerakan koperasi di negara-negara masing-masing.
“Kita melihat potensi perdagangan dalam negara ASEAN yang memiliki seramai 640 juta penduduk.
“Sasaran kita adalah satu kontena produk dapat didagangkan setiap bulan atau sekurang-kurangnya 10 kontena setahun sekali gus akan membolehkan kita mencapai hasrat memasuki pasaran di rantau Asia pada 2021 dan menakluki peringkat global pada 2025,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Terengganu di Wisma Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Berhad (Kokitab) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Angkasa negeri, Mohamed Yusoff.
Abdul Fattah yang juga Presiden Angkasa berkata, antara produk tempatan yang diperincikan bagi tujuan itu termasuk pharmaseutikal di samping buah-buahan seperti nenas dan durian. – UTUSAN ONLINE











