Wan Azizah tidak perlu berundur - Utusan Malaysia

Wan Azizah tidak perlu berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Desakan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri tidak seharusnya berlaku.

Hal berkenaan dijelaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan bahawa keputusan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada 2018 perlu dijadikan panduan.

Beliau berkata, desakan sepatutnya tidak akan berlaku jika semua pihak memahami perjanjian dipersetujui dalam Majlis Presiden PH yang dibuat lima bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berlangsung.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beberapa perkara yang dimeterai dalam perjanjian PH yang dibuat pada 6 Januari 2018 iaitu apabila PH memerintah Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah jadi timbalannya sementara Anwar pula akan jadi pengganti kepada Mahathir.

“Keputusan itu adalah muktamad yang mengikat keempat-empat parti iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu yang akan dipegang sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Pembangunan Industri Kewangan Malaysia (MIDF) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan dilakukan oleh Bendahari Bersatu Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli supaya Dr. Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya peralihan kuasa kepada Anwar dapat dilakukan.

Dalam pada itu Saifuddin turut menegaskan bahawa perjanjian tersebut tidak boleh sewenang-wenangnya dirungkai semula semata-mata mahu memenuhi kehendak pihak tertentu.

“Jika hendak diubah, ia perlu berbalik semula kepada pakatan kerajaan keputusan yang dibuat adalah bersifat konsensus, bukan majoriti iaitu persetujuan bersama.

“Walaupun pelbagai pihak menyatakan pandangan masing-masing, kita adalah negara demokrasi segala desakan dari luar hanyalah asam garam dalam politik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini