Perkenal rebat cukai kepada majikan lindungi pekerja - Utusan Malaysia

Perkenal rebat cukai kepada majikan lindungi pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Jun – Kerajaan perlu memperkenalkan rebat cukai dan insentif kepada majikan untuk mengimport serta mengeluarkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang berkualiti dan pintar untuk para pekerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, fokus harus diberikan kepada aspek keselamatan di tempat kerja serta penggunaan PPE pintar dan berkualiti tinggi berikutan negara ini sedang mengalami pembangunan pesat.

“Saya sekali lagi mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian rebat cukai bagi PPE yang diimport untuk menjadikannya lebih murah dan menggalakkan majikan mendapatkan PPE yang berkualiti untuk pekerja mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebarang rebat cukai bagi PPE akan menjadi insentif yang membantu menggalakkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya sewaktu menghadiri majlis pelancaran produk keselamatan 3M Malaysia sempena Pameran Kejuruteraan Petroleum dan Gas Asia ke-17 (OGA 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengurus Besar 3M Malaysia, G.T. Lim.

Lam Thye berkata, kerajaan juga perlu memberi insentif kepada pengimport dan pengilang tempatan yang memperkenalkan PPE berkualiti tinggi dan pintar termasuk yang menggunapakai teknologi terkini seperti sensor bertepatan tinggi, sistem penentu kedudukan global (GPS) dan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID).

“Sesetengah syarikat telah pun memperkenalkan PPE yang menggunakan fabrik ringan atau sistem penyejukan yang dapat memberikan keselesaan kepada mereka yang bekerja di bawah sinaran terik matahari,” katanya.

Lam Thye memberitahu, pengetahuan mengenai peralatan perlindungan yang betul atau PPE adalah kunci kepada usaha mempromosikan budaya kerja selamat dan membantu mengurangkan risiko bahaya pekerjaan.

Beliau berkata, PPE direka untuk melindungi pekerja dari kecederaan di tempat kerja atau penyakit yang disebabkan bahaya kimia, radiologi, fizikal atau lain-lain di tempat kerja dan ia termasuk pelindung mata, pakaian, sarung tangan, rompi, penyumbat telinga dan kasut keselamatan.

“PPE selalunya dianggap pertahanan terakhir selepas kawalan kejuruteraan dan pentadbiran gagal mengurangkan kemalangan pekerjaan. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 mewajibkan penggunaan PPE untuk mengurangkan pendedahan pekerja terhadap bahaya di tempat kerja, “katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini