KUALA LUMPUR-Seorang penganggur diberkas selepas melibas pedang kecil ke arah pegawai polis ketika menyerbu sebuah rumah sewa di Jalan Huo Ping, Sibu, Sabah, semalam.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 petang selepas suspek berusia 26 tahun dikatakan mengambil sebilah pedang kecil dan menghayunnya ke arah pegawai polis.
Katanya, sebelum kejadian, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Sibu itu telah memperkenalkan diri sebelum mengekori suspek masuk ke dalam sebuah bilik.
“Tiba-tiba lelaki itu mengambil sebilah pedang kecil dan menghayun ke arah pegawai polis namun dia sempat mengelak.
“Pasukan tersebut sempat melarikan diri dari kawasan rumah dan meminta bantuan dari unit peronda (MPV). Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Stanley, pihaknya turut menemukan pedang kecil dan satu peket lutsinar mengandungi dadah jenis methamphetamine di hadapan bilik sewa suspek dipercayai dicampaknya sebelum ditahan polis.
Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek berada dalam pengaruh dadah ketika kejadian dan akan dirujuk kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
bagi dihantar ke pusat pemulihan.
“Buat masa ini, suspek akan direman berhubung kes narkotik terlebih dahulu dan akan ditangkap semula berhubung kes ini bagi disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh penjawat awam,” katanya.-UTUSAN ONLINE











