SEREMBAN – Seorang kakitangan Hospital Jelebu cedera selepas kereta Perodua Alza dipandunya dilanggar sebuah lori treler di Kilometer 258 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi ketika Muhamad Tajudin Mohd. Harun, 27, dalam perjalanan dari Rasah di sini ke Ayer Keroh, Melaka untuk menghadiri temuduga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd. Syazwan Saidy berkata, menurut saksi kejadian, kereta Alza itu baru memasuki susur masuk ke lebuh raya itu di Plaza Tol Seremban-Port Dickson dekat Rasah.
“Secara tiba-tiba sebuah lori treler dari arah Kuala Lumpur melanggar Alza dari arah belakang menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu berpusing sebanyak tiga kali sebelum melanggar pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian dada manakala lori treler itu tidak berhenti di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.26 pagi.
Tambahnya, pasukan itu telah memberi rawatan awal kepada mangsa dan membersihkan tempat kejadian.
“Kes itu diserahkan kepada polis trafik untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











