KUALA LUMPUR – Hanya kerana kerap menderma darah sejak tahun 2004, seorang peniaga lemang periuk kera tidak menyangka kos rawatan dan pembedahan kaki kirinya akibat sakit kencing manis berjumlah RM19,713 telah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Menurut Noor Shafry Abdul Malik, 48, perkara itu berlaku ketika dia ingin membayar bil rawatan selepas 39 hari menerima rawatan di Hospital Serdang, dekat sini akibat diabetis.
Walaupun kejadian yang dilaluinya itu sudah berlalu lebih setahun lalu, namun ia kembali menjadi bualan warga internet selepas sekeping gambar menunjukkan resit bayaran bil rawatan atas nama dirinya yang perlu dibayar tertera RM0 walaupun kos sebenar rawatan adalah RM19,713 kembali tular di media sosial kelmarin.
Bercerita semula perkara itu, Noor Shafry yang dihubungi semalam berkata, kejadian itu berlaku ketika dia cuba meminta diskaun kerana tidak mampu membayar jumlah kos rawatan yang tinggi apabila dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada 15 Januari 2018.
“Sepatutnya saya hanya dapat diskaun beberapa ratus sahaja, tetapi apabila saya teringat tentang buku merah (rekod derma darah), saya serahkan pada petugas di kaunter pembayaran bil.
“Setelah pihak hospital meneliti rekod derma darah saya dan melakukan semakan, bil rawatan dikeluarkan semula dan apa yang mengejutkan, saya tidak perlu membayar sebarang kos rawatan, malah turut tertera jumlah bayaran perlu dibayar adalah RM0 pada resit yang baharu dikeluarkan itu,” katanya.
Jelasnya lagi, sehingga kini dia sudah menderma darah sebanyak 22 kali dengan kekerapan tiga bulan sekali dalam satu-satu masa di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur hingga layak mendapat keistimewaan seperti menjalani rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan secara percuma serta layak menduduki wad kelas dua untuk tempoh tiga tahun.
“Penderma darah ini mempunyai banyak keistimewaan lain, contohnya mereka boleh tahu tahap kesihatan semasa ketika sesi saringan sebelum pengambilan darah dibuat,” ujarnya.
Tambah pengusaha Warisan Lemang Periuk Kera di Puchong itu lagi, dia berniat untuk kembali menderma darah selepas tahap kesihatannya pulih semula satu hari nanti.
“Saya ingin berpesan kepada masyarakat, dermalah darah anda sementara tubuh badan masih sihat, anggaplah manfaat yang diterima ini sebagai satu takaful alternatif untuk masa depan kesihatan kita,” katanya.











