SEBERANG PERAI – Seorang pelajar sebuah universiti awam berputih mata apabila kerugian sebanyak RM18,983 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud di Kepala Batas di sini kelmarin.
Lebih malang lagi, mangsa yang berusia 20 tahun menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah bapanya.
Mangsa yang berasal dari Bukit Mertajam berbuat demikian kerana tertarik dengan tawaran untung berganda dalam masa singkat.
Difahamkan, bapa mangsa meninggal dunia pada tahun lalu dan mangsa mendapat sebahagian daripada wang simpanan KWSP tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa menerima iklan mengenai pelaburan itu menerusi aplikasi WhatsApp pada pada 4 Jun lalu.
“Mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang diberikan dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen sebuah syarikat pelaburan.
“Mangsa berasa tertarik dengan pelaburan itu selepas dijanjikan dengan pulangan berlipat kali ganda dalam tempoh seminggu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, mangsa yang gelap mata dengan tawaran itu pada mulanya bersetuju untuk membuat pelaburan RM500.
“Ejen itu terus mempengaruhi supaya menambah nilai pelaburan sehingga RM18,983 dan menjanjikan pulangan sebanyak RM25,000 dalam masa seminggu bersama modal pelaburan,” katanya.
Jelasnya, mangsa membuat lima transaksi pemindahan wang menerusi deposit tunai di beberapa buah bank di Butterworth dan Mak Mandin di sini dalam masa enam hari sejak 6 Jun.
Ejen itu mendesak mangsa menambah nilai pelaburan namun mangsa tidak bersetuju.Mangsa mula berasa ditipu apabila ejen itu memberi pelbagai alasan ketika ditanya berhubung pulangan pelaburan.











