KENANGAN manis ketika membimbing legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika menjadi jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan akan terus terpahat dalam memori Datuk Tey Seu Bock.
Seu Bock yang kini merupakan jurulatih perseorangan wanita negara mengakui setiap detik bersama Chong Wei sangat berharga dan tidak akan dilupakan termasuk menyaksikan pemain berusia 37 tahun itu meraih tiga pingat perak pada Sukan Olimpik.
Beliau berkata, meskipun sukar menerima kenyataan Chong Wei sudah menggantung raket, namun jasa serta pengorbanan bapa kepada dua anak itu tidak dapat dilupakan sepanjang 19 tahun penglibatannya dalam sukan berkenaan.
“Sebagai bekas jurulatih yang pernah membimbingnya, saya hormati keputusan Chong Wei kerana ia bukan perkara mudah untuk dilakukan. Dia sudah ambil masa yang panjang untuk fikirkan perkara tersebut, jadi saya fikir ia adalah keputusan terbaik buatnya.
“Banyak kenangan manis ketika membimbingnya terutama ketika dia menunjukkan kebangkitan pada Sukan Olimpik 2012 selepas mengalami kecederaan buku lali sebelum itu. Bagi saya, setiap detik bersama Chong Wei akan menjadi kenangan manis buat saya,” kata Seu Bock.
Seu Bock turut tidak keberatan jika anak didiknya itu mahu menyumbang sesuatu termasuk memberikan nasihat atau pandangan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana menganggap Chong Wei sebagai legenda badminton dunia.
“Harapan saya ialah agar Chong Wei boleh membantu BAM dari segi nasihat dan saya tidak kekok jika beliau datang memberi pandangan. Saya fikir pandangan serta nasihatnya sangat bernilai kerana beliau boleh dianggap sebagai legenda dunia.
“Saya mengalu-alukan Chong Wei untuk datang dan membantu barisan kejurulatihan BAM. Selain itu, saya juga mahu memberi pesanan kepada Chong Wei agar jangan lupa separuh daripada darah dagingnya ada dalam sukan badminton,” ujarnya.
Minggu lalu, Chong Wei yang juga bekas pemain No. 1 dunia mengumumkan persaraan daripada sukan berkenaan bagi menjaga tahap kesihatan serta meluangkan lebih masa bersama keluarga.











