KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 orang ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam beberapa siri Op Tapis dan Sarang selama seminggu sejak 10 Jun di Sabah.
Menurut portal SabahNewsToday, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Mohd. Hamizi Halim berkata, daripada jumlah itu seorang individu ditahan kerana memiliki dadah dan 13 yang lain ditahan susulan gagal ujian air kencing.
“Tangkapan dibuat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Op Sarang dijalankan di sekitar taman perumahan Telipok Ria dan Taman Sri Rugading yang turut membawa kepada penahanan lapan penagih yang dikehendaki selain sebagai usaha bagi mengekang masalah dadah dan jenayah di kawasan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut Mohd. Hamizi memberitahu, kesemua tangkapan yang dibuat terdiri daripada warga tempatan berumur dalam lingkungan 23 hingga 45 tahun.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi tempoh itu adalah seberat 0.18 gram dari dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM30 mengikut harga dadah semasa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











