KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tempat letak kereta di tingkat enam di pusat beli belah Centre Point, Sabah semalam.
Menurut portal SabahNewsToday, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji mengesahkan kejadian yang didakwa berlaku sekitar pukul 9.45 malam.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi pihaknya turut menemukan kunci kereta di tangan mangsa yang berumur 39 tahun itu.
“Polis turut menemukan kad pengenalan mangsa yang menunjukkan dia berasal dari Sarawak.
“Siasatan membabitkan kematian mangsa masih dibuka bagi menyiasat sama ada mangsa membunuh diri, terjatuh atau ada punca lain,” katanya.
Habibi memberitahu, berdasarkan rakaman litar tertutup pusat beli belah berkenaan, mangsa didakwa telah meletakkan kenderaannya di tingkat enam.
“Pihak polis juga sedang memeriksa kenderaan mangsa,” ujarnya.
Tambahnya, tiada saksi yang tampil di lokasi kejadian setakat ini untuk membantu siasatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 bagi tujuan bedah siasat,” jelasnya – UTUSAN ONLINE











