KUALA LUMPUR – Polis sudah menerima 17 laporan dan merakam 21 keterangan berhubung siasatan video skandal seks sejenis yang mengaitkan seorang menteri kanan Kabinet.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan kes tersebut melibatkan pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.
“Kita bekerjasama dengan Unit Forensik dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) khususnya melibatkan siasatan terhadap video tersebut.
“Belum ada bantuan dari luar negara dan siasatan sudah diteruskan tetapi kita tidak boleh dedahkan secata terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut Mazlan, pihaknya juga akan merakamkan keterangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dalam masa terdekat.
Ketika ditanya mengenai tiada sekatan ke luar negara terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, beliau berkata, lelaki itu sudah memberi kerjasama yang baik sebelum ini.
Tambah beliau, pihaknya sudah memutuskan persetujuan bersama Haziq Abdullah memandangkan kerjasama yang baik semasa siasatan. – UTUSAN ONLINE











