TELUK INTAN – Seorang ibu dalam pantang yang mempertaruhkan keselamatannya untuk menyelamatkan bayinya semasa banjir di sini baru-baru ini mendapat perhargaan hari ini.
Wanita berkenaan, Nur Aishah Iman Harold Ng Lip Singh, 22, yang meranduk air banjir untuk membawa anaknya, Muhammad Syafik Shuhaimi ke tempat selamat ketika banjir iaitu tiga hari sebelum hari raya Aidilfitri, dihargai dalam Program Hero Tak Didendang.
Nur Aishah menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dalam sesi lawatan ziarah program itu di Simpang Tiga Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong di sini hari ini.
Menurut Nur Aishah, dia tidak menyangka menerima penghargaan dan agak terkejut apabila dikunjungi Mohamed Hanipa.
Menceritakan detik cemas kejadian yang berlaku tiga hari sebelum hari raya, Nur Aishah berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 pagi.
Katanya, ketika itu air banjir naik secara mendadak di kawasan persekitaran rumahnya yang terletak di kawasan rendah.
“Melihatkan air banjir yang semakin naik, saya tidak memikirkan soal lain sebaliknya hanya memikirkan bayi yang baru saya lahirkan.
“Tanpa menghiraukan keselamatan diri, saya mengendong anak saya meredah air banjir untuk ke tempat yang selamat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ketika itu dia berasa agak cemas kerana masih dalam pantang.
“Saya takut untuk meranduk air, takut tergelincir namun saya redah juga bagi memastikan anak saya selamat,” katanya.
Pada kunjungan tersebut, Mohamed Hanipa menyerahkan plak penghargaan dan hamper kepada Nur Aishah.
Menurut Mohamed Hanipa, Program Hero Tak Didendang bukanlah program bantuan tetapi ia bagi memberikan anugerah kepada individu yang berjasa. – UTUSAN ONLINE











