KUALA LUMPUR – Kenanga Investors Bhd. melancarkan dana Kenanga Global Unicorn 1 (KGU1) bagi menyediakan peluang kepada pelabur melabur dalam syarikat pemula teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Ismitznya Matthew De Alwis berkata, dana itu dimasukkan ke dalam Dana Ericsenz-K2 Global Unicorn — sebuah dana yang menyasarkan pulangan jangka sederhana menerusi pelaburan terutamanya dalam sekuriti syarikat unicorn.
“Tiga tahun lepas syarikat unicorn jarang ditemui, tetapi sekarang terdapat antara 80 hingga 100 syarikat yang mencapai status itu setiap tahun, yang sering dikaitkan dengan petanda tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh terdekat.
“Hari ini, Asia menerajuinya dengan sekurang-kurangnya 30 peratus syarikat unicorn datang dari China, yang mana istilah itu biasanya dikaitkan terutamanya dengan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Unicorn merujuk kepada mana-mana syarikat pemula teknologi yang mencapai nilai pasaran sebanyak US$1 bilion dollar seperti yang ditentukan oleh pelaburan swasta atau awam.
De Alwis menegaskan bahawa perkembangan terkini memberi banyak peluang kepada para pelabur untuk memanfaatkannya, tetapi dengan banyaknya syarikat unicorn yang memilih untuk kekal lebih lama, ia tidak dapat diakses oleh pelabur harian.
“Ini adalah kali pertama pelaburan modal ekuiti swasta ini tersedia kepada pelabur di Malaysia. KGU1 menawarkan akses eksklusif kepada pelanggan kami untuk melabur dalam peluang pelaburan yang sukar dicapai,” katanya.
De Alwis berkata KGU1 menyasarkan untuk menyediakan peningkatan modal pada akhir tempoh matang dana dengan melabur dalam dana sasaran, dan diukur berbanding sasaran pulangan kadar dalaman 12 peratus setahun.
Dana sasaran ini akan diuruskan oleh Ericsenz Capital Pte. Ltd., modal teroka yang berpangkalan di Singapura dan firma ekuiti swasta, yang dilesenkan di bawah akta sekuriti dan ke hadapan yang dikawal selia oleh Penguasa Kewangan Singapura.
Dana itu sesuai bagi pelabur canggih iaitu mereka yang mempunyai had pelaburan jangka panjang, yang mana boleh digunakan bagi kedua-dua ringgit dan dolar AS.
Ia memberikan peluang kepada pelabur untuk melabur dalam mata wang pilihan mereka dengan pelaburan minimum sebanyak RM100,000 atau AS$25,000. – BERNAMA











