KUALA LUMPUR – Kabinet setakat ini tidak membincangkan mengenai isu penyebaran video seks yang dikaitkan dengan individu mirip menteri kanannya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Kabinet juga tidak akan teruja dan tugas tidak akan terganggu dengan perkara ini.
“Tidak ada. Yang lepas, (ia) baru berlaku dan kami tidak bincang perkara itu dan selepas itu, kita dapati bahawa yang didakwa itu telah ditahan.
“Saya rasa polis ada jalan penyelesaian dalam isu ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) 2019 di Tropicana Golf and Country Club, Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Ahli Jemaah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi dan Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari.
Rabu lalu, tersebar video seks dalam kumpulan WhatsApp melibatkan dua lelaki yang seorangnya mirip menteri kanan Kabinet.
Seorang pelaku dalam video tersebut, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku bahawa dirinya merupakan individu bersama menteri kanan berkenaan dan yang dimaksudkannya ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita sebelum ini bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video berkenaan. – UTUSAN ONLINE











