JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO negeri menyokong desakan dibuat Ketua Pemuda UMNO Pusat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki agar Peguam Negara, Tommy Thomas berundur dan meletakkan jawatan.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, desakan itu dilihat wajar berdasarkan 10 sebab.
Menurutnya, antara sebab itu termasuk pendedahan wujudnya campur tangan Peguam Negara dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang menyebabkan kredibiliti beliau diragui.
“Sebab lain termasuklah wujudnya pendakwaan terpilih di mana berlakunya pengguguran sepenuhnya kes rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Ini juga membabitkan tindakan Tommy Thomas yang tidak menghormati keputusan Majlis Raja-raja berkenaan Statut Rom dan keputusan beliau menggugurkan beberapa kes membabitkan hubungan diplomatik seperti dakwaan pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, iaitu Kim Jong Nam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Mohd. Hairi berkata, individu yang menjawat jawatan Peguam Negara perlu seorang yang jujur, telus, tidak bersikap berat sebelah, bebas dan tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi. – UTUSAN ONLINE











